Isnin, 15 Mac 2010

DATO'SERI MOHD NAJIB TUN HJ ABD RAZAK

Impian sepanjang hayat Perdana Menteri Malaysia Ke-6, Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak, ialah satu Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur, dengan peluang yang bukan sedikit untuk semua rakyat.

 Sebagai putera kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Abd Razak, Najib dilahirkan di tengah-tengah gelanggang politik. Najib membesar dengan memerhatikan bapanya serta memahami kehendak politik arus perdana. Beliau sentiasa mengerti bahawa bila sampai waktunya beliau juga mahu berbakti kepada masyarakat dan negara. Namun pemergian bapanya pada ketika yang tidak dijangka, 14 Januari 1976, ketika menjejaki usia 54 tahun, telah menyorongkan Najib ke hadapan sehingga menjadi tumpuan utama. Lima minggu selepas pemergian bapanya, pada usia 22 tahun, Najib telah terpilih untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pekan, menjadikan beliau Ahli Parlimen yang paling muda dalam sejarah Malaysia. Pada 2004, beliau telah menyandang jawatan kedua tertinggi dalam negara sebagai Timbalan Perdana Menteri, 47 tahun setelah bapanya dilantik ke jawatan yang sama.

Dato' Sri Mohd Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan di St. John’s Institution, Kuala Lumpur dan Malvern Boy’s College, Worcestershire, England sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Ekonomi Perindustrian daripada Nottingham University. Sekembalinya ke Malaysia pada 1974, beliau telah menyertai dunia korporat bila berkhidmat untuk satu waktu yang singkat dengan Bank Negara, kemudiannya beralih ke PETRONAS (perbadanan petroleum negara) sebagai Pengurus Hal Ehwal Awam. Namun pemergian Tun Abd Razak secara tiba-tiba itu telah merobah corak kehidupan beliau secara dramatik.

Najib pantas menyesuaikan dirinya dengan kehidupan umum sebagai Ahli Parlimen, dan kemudiannya mendapati kemahiran berpolitik itu begitu serasi dengan dirinya. Tidak lama kemudian, Najib yang masih muda belia telah memperlihatkan bahawa beliau ialah seorang ahli politik yang boleh dipercayai dan berkebolehan serta berhak dipanggil pemimpin atas keupayaan dirinya sendiri. Pada tahun pertamanya sebagai Ahli Parlimen, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga Telekomunikasi dan Pos, dan kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada 1982, Perdana Menteri yang baru, Dr. Mahathir Mohamad telah mencalonkan Dato’ Sri Mohd Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pekan. Berikutan dengan kejayaannya, Najib yang berusia 29 tahun ketika itu dilantik menjadi Menteri Besar Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Pahang pada ketika itu hampir-hampir terjebak dalam satu krisis politik disebabkan oleh perbezaan yang serius antara bekas Menteri Besar dan Sultan Pahang. Tetapi Najib bukan sahaja sebutir bintang yang sedang bergemerlapan, beliau juga ialah salah seorang daripada Pembesar Berempat Istana Pahang (kerana mewarisi gelaran turun temurun sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar). Dengan yang demikian diterima dengan tangan terbuka oleh pihak Istana. Krisis yang melanda itu dengan cepat dapat diredakan, memastikan perpaduan dalam UMNO Pahang. Selanjutnya Najib memulakan langkah untuk mengukuhkan pendidikan di dalam negeri.

Pada 1992 Najib telah memainkan peranan utama dalam penubuhan Yayasan Pahang, sebuah yayasan yang membaktikan kepada penggalakan pendidikan dan sukan di kalangan belia Pahang melalui biasiswa dan pembiayaan. Najib telah memperkukuh perusahaan negeri untuk memaksimumkan pendapatan daripada sumber kekayaan semula jadi negeri Pahang. Dengan kerjasama FELDA, Perbadanan Pembangunan Tanah Persekutuan, beliau telah merintis jalan kepada pembentukan skim penempatan tanah baru, memberikan peluang-peluang pendapatan baru kepada mereka yang tidak mempunyai tanah dan berada dalam kelompok yang berpendapatan rendah.

Dato Sri Mohd Najib mula menyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO pada 1982, dan naik sebagai ketua pergerakan tersebut pada 1987. Pada 1988, setelah satu pergolakan menguasai parti, satu UMNO baru yang telah disusun semula diwujudkan dan Najib telah dilantik sebagai Ketua Pemuda, jawatan yang disandang beliau sehingga 1993.

Dalam pilihan raya 1986, Najib dikembalikan sebagai Ahli Parlimen kawasan Pekan, dan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sebaik sahaja dilantik beliau terus memberikan tumpuan kepada penggalakan sukan dan memperkenalkan Dasar Sukan Negara pada 1988. Pada 1989, Malaysia telah mencapai kejayaan yang terbaik pernah dicapainya di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun itu.

Pada 1991, Dato’ Sri Najib telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Najib telah mencergaskan semula sebuah Kementerian yang dilihat sebagai tidak bermaya dan lembap. Beliau telah memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Pada 1995, Dato’ Sri Najib mengalami perubahan dalam portfolio kabinet, yang mana beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah mengambil cabaran untuk menyambut aspirasi Malaysia yang baru sahaja diumumkan ketika itu, untuk menjadi sebuah negara maju yang sepenuhnya pada tahun 2020. Sepanjang tempoh lima tahun perkhidmatannya, Najib telah mewujudkan mekanisme yang dapat membolehkan generasi rakyat Malaysia menghadapi cabaran masa mendatang. Beliau telah menstrukturkan semula Kementerian ini, memperbadankan universiti dan institusi awam, serta menggalakkan kerjasama dengan universiti dan institusi luar negara. Langkah ini telah memberikan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia dan meletakkan Malaysia sebagai satu hab pembelajaran serantau. Dato' Sri Najib juga telah meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma, supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan yang lebih tinggi.

 Pada 1999, berikutan pergolakan politik pada tahun sebelumnya, Najib memenangi pemilihan semula kerusi Parlimen Pekan. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan buat kali keduanya dan meneruskan usaha untuk meningkatkan dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia. Apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2004, Dato’ Sri Najib telah diserahkan dengan portfolio tanggungjawab yang banyak dan besar, termasuk mengawasi FELDA, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau mempengerusikan 28 Jawatankuasa Kabinet yang membincangkan pelbagai isu.

Dato’ Sri Najib telah berkahwin dengan YABhg. Datin Sri Rosmah Mansor, dan bapa kepada lima orang anak.

 Pada 3hb April 2009, Dato; Sri Mohd Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dalam satu proses peralihan kuasa yang lancar oleh YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.




 http:// www.1malaysia.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


I made this widget at MyFlashFetish.com.

anda pengunjung ke