Rabu, 3 Mac 2010

ADAKAH SAYURAN TEMPATAN SELAMAT?????


Adakah Sayuran Tempatan Selamat?

Kebimbangan yang semakin meningkat di kalangan para pengguna di dalam dan luar negara mengenai tahap keselamatan sayur-sayuran yang dikeluarkan di Sabah. Pengimport sayur-sayuran semakin berhati-hati untuk membeli sayur-sayuran yang dikeluarkan di negeri ini. Adakah keprihatinan ini berasas?

Penyelidikan yang dibuat oleh ahli-ahli Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah telah mendapati bahawa kebanyakan sayur-sayuran yang dijual di pasaran untuk pengguna tempatan tidak diberi tag pengenalan. Tag pengenalan atau label adalah langkah yang digunakan untuk menjamin bahawa sayur-sayuran yang dikeluarkan memenuhi standard kesihatan yang minimum dan juga sebagai cara untuk memantau penggunaan bahan-bahan racun serangga oleh pengeluar-pengeluar sayur.

Pada masa ini, hanya sayur-sayuran keluaran tempatan yang dieksport sahaja yang diberi tag pengenalan sementara sayur-sayuran yang dipasarkan untuk para pengguna tempatan tidak sedemikian. Sayur-sayuran yang dijual di pasaraya, pasar dan gerai tidak diberi tag pengenalan. Ketiadaan tag pengenalan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menjamin bahawa syarat kesihatan minimum 1985 bagi sayur-sayuran dipenuhi.

Pada prinsipnya, semua penanam sayur dikehendaki untuk mendaftar dengan Jabatan Pertanian Sabah. Adalah penting untuk berbuat demikian supaya setiap penanam sayur diberi kod oleh Jabatan berkenaan untuk tujuan pemantauan. Ketika ini, majority penanam sayur yang berdaftar adalah mereka yang mengeksport sayur kerana ini adalah prasyarat untuk mengeksport. Sayur-sayuran yang tidak diberi tag pengenalan tidak dibenarkan untuk dieksport. Akan tetapi keperluan tag pengenalan ini belum lagi dikuatkuasakan ke atas penanam-penanam sayur tempatan.


Jabatan Kesihatan mengambil sample sayur-sayuran secara rambang dari kebun-kebun sayur, pasar dan pasaraya untuk menguji kandungan sisa racun serangga. Baru-baru ini, Jabatan tersebut telah mendakwa pemilik pasaraya di Kota Kinabalu kerana melanggar Akta Kawalan Makanan 1985 kerana menjual sayur-sayuran yang mengandungi sisa racun serangga yang tinggi (Daily Express, 3.9.00).

Jika sayur-sayuran yang dijual di pasaran tempatan diberi tag pengenalan, maka Jabatan Kesihatan juga boleh mengesan dan mendenda penanam-penanam sayur yang menggunakan racun serangga yang berlebihan.

Sayur-sayuran yang mengandungi tahap sisa racun serangga yang tinggi terbukti dalam statistik yang diperolehi. Pada tahun 1999, empat pengeksport sayur dari Sabah telah didapati mengeksport sayur-sayuran yang melebihi Paras Sisa Maksimum (MRL) (Sumber: FAMA). Cawangan Penyelidikan Jabatan Pertanian Sarawak juga telah mendapati bahawa 10.4% daripada sayur-sayuran yang diimport dari Sabah didapati melebihi MRL pada tahun 1998. Tahap MRL yang tinggi didapati dalam 75% daripada keseluruhan sampel daun celery China, 50% chai sim (sawi bunga), 40% cili (capsicum), 20% terung, 25% bayam (spinach) dan 15.6% kobis China.

Statistik tahun 1998 daripada Jabatan Kesihatan juga mendapati kandungan racun serangga adalah melebihi MRL bagi sayur minyak, sawi pahit, sawi bunga (Chai Sim), kacang wangi, bayam, sawi Taiwan, daun “Sadri”, cilli, bendi, daun ketumbar (Chinese celery) dan bayam putih. Statistik daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa 21% daripada sayur-sayuran tanah rendah yang diambil sampel antara Januari hingga Mei 2000 mempunyai paras sisa racun serangga EBDC yang melebihi MRL, mengikut masing-masing.


Berikutan penemuan ini, terdapat keperluan mendesak bagi meningkatkan kualiti dan tahap keselamatan sayu-sayuran yang dikeluarkan di negeri ini. Kawalan racun serangga mestilah diperketatkan oleh kerana pemakanan sayur-sayuran yang mengandungi sisa racun serangga membahayakan kesihatan masyarakat pengguna dalam jangka panjang. Tambahan pula imej sayur-sayuran keluaran negeri Sabah akan tercemar di pasaran tempatan dan antarabangsa jika tidak ada jaminan daripada pihak berkuasa bahawa sayur yang dihasilkan di sini mempunyai kualiti yang tinggi dan memenuhi standard kesihatan yang minimum.

Sebagai langka permulaan, adalah dicadangkan supaya hasil ujian sampel bagi pelbagai jenis sayur-sayuran yang dibuat oleh pihak berkuasa diterbitkan dalam suratkhabar tempatan atau laman web yang sesuai. Ini bukan sahaja berguna sebagai maklumat penting untuk menyedarkan para pengguna tetapi juga memberi tekanan kepada pengeluar sayur supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam penggunaan racun serangga dalam aktiviti mereka.

Pada masa yang sama, lebih banyak perkhidmatan sambungan (extension services) diperlukan untuk mendidik penanam sayur mengenai pengurusan racun serangga secara bersepadu dan kaedah-kaedah lain yang selamat dalam proses pengeluaran mereka. Adalah juga perlu untuk menjamin supaya racun serangga yang diharamkan (banned pesticides) untuk sayur-sayuran dihentikan segera. Hakikatnya, sudah ada kesedaran di kalangan pengguna untuk beralih kepada sayuran organic yang lebih selamat. Pihak berkuasa yang releven boleh mempromosikan perladangan organik dengan memberi lebih banyak bantuan kepada pekebun sayur.

Mengikut Jabatan Pertanian, kos untuk menguji sesuatu sample sayur-sayuran adalah sangat tinggi. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk meningkatkan peruntukan bagi ujian sampel sayuran untuk memastikan agar saiz sample yang dikaji mencukupi. Jumlah kakitangan di Jabatan berkenaan yang menjalankan ujian sample sayuran juga ditambah supaya ujian yang lebih kerap dapat dilakukan di peringkat kebun, pasaran borong dan runcit serta pintu eksport. Kita hendaklah menjamin kualiti dan keselamatan sayur-sayuran untuk kesihatan pengguna sebelum kita pergi lebih jauh mempromosikan pasaran untuk eksport.




Sumber : Buletin Pilihan Pengguna Consumer's Choice Bil 1/2000

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


I made this widget at MyFlashFetish.com.

anda pengunjung ke