Jumaat, 12 Mac 2010

BUDAYA & WARISAN PENDUDUK DI MALAYSIA

Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu, telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya.Segala aspek negara, dari latarbelakang penduduknya, hinggalah kekayaan senibinanya, mencerminkan penggabungan warisan dan budaya yang pelbagai.Kinilah masanya, Malaysia adalah destinasinya.


TEROKAILAH BUMI PELBAGAI BUDAYA
Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik.Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta warisan yang unik dan tersendiri.


Melayu
Hari ini, kaum Melayu, kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Di Malaysia, jika merujuk kepada orang Melayu menunjukkan orang itu beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu, berbahasa Melayu dan mempunyai keturunan Melayu. Pada asalnya mereka penganut Theravada Buddha dan Hindu pada kurun ke 1400-an, dan dengan pengaruh Istana Melaka ketika itu mereka menganut Islam. Orang Melayu terkenal kerana peramah dan budaya seni mereka yang sangat kaya.


Cina
Ini adalah kumpulan etnik kedua terbesar, yang mana kaum Cina merangkumi 25 peratus populasi. Kebanyakan keturunan kaum Cina hari ini berasal daripada pendatang ke negara ini pada kurun ke-19. Mereka terkenal kerana kuat bekerja dan pandai berniaga. Tiga kumpulan kecil kaum ini yang berbicara dialek Cina berbeza adalah Hokkien yang tinggal di utara Pulau Pinang, Kantonis yang tinggal di Kuala Lumpur dan juga kumpulan bertutur bahasa Mandarin yang tinggal di kawasan selatan tanahair di Johor.


India
Kumpulan etnik terkecil antara tiga kumpulan etnik utama di negara ini, kaum India merangkumi 10 peratus populasi. Kebanyakan berasal daripada pendatang dari Selatan India yang berbahasa Tamil, yang datang ke Malaysia sewaktu zaman penjajahan British dahulu. Mereka datang ke sini untuk mencari kehidupan yang lebih baik, luar daripada sistem kasta yang diamalkan di India. Kebanyakan beragama Hindu, mereka turut membawa budaya mereka yang unik serta pembinaan kuil, makanan pedas dan pakaian sari yang mewah.


KUMPULAN ETNIK PRIBUMI


Orang Asli
Orang Asli adalah terma yang digunakan untuk kumpulan etnik pribumi yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Mereka dibahagi kepada tiga kumpulan utama: Negrito, Senoi dan Proto-Melayu. Kumpulan Negrito biasanya tinggal di utara, Senoi di pertengahan dan Proto-Melayu di selatan. Setiap kumpulan dan kumpulan etnik kecil mempunyai bahasa dan budaya tersendiri. Ada yang menjadi nelayan, peladang dan ada yang kerap berpindah-randah.


SARAWAK
Secara kolektifnya, kumpulan etnik utama di Sarawak dikenali sebagai Dayak, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. ‘Dayak’ yang bermakna ‘hulu’ atau ‘pedalaman’, digunakan sebagai istilah umum oleh penduduk Islam pinggir pantai bagi merujuk kepada lebih 200 kumpulan suku peribumi yang tinggal di kawasan pedalaman. Lazimnya mereka tinggal di rumah panjang, iaitu rumah komuniti tradisional yang boleh memuatkan antara 20 hingga 100 buah keluarga.


Iban
Kumpulan etnik terbesar Sarawak, kaum Iban merangkumi 30 peratus populasi negeri ini. Kadangkala mereka dikategorikan secara salah sebagai etnik Dayak Laut kerana kepakaran mereka menggunakan bot, bagaimanapun, mereka sebenarnya kaum dari hulu sungai di tengah-tengah Kalimantan. Dahulu kala, mereka adalah pejuang yang sangat gagah berani dan terkenal dengan ‘ngayau’ atau pemburuan kepala serta aktiviti pelanunan. Secara tradisi, mereka menyembah tiga Tuhan di bawah kekuasaan Singalang Burung, Tuhan burung peperangan. Walau kebanyakan mereka kini beragama kristian, mereka masih mengamalkan amalam tradisi.


Bidayuh
Kaum Bidayuh Sarawak terkenal kerana keramahan budaya mereka, selain menjadikan kawasan pergunungan negeri ini sebagai tempat kediaman. Ada yang merupakan peladang, dan pemburu. Mereka juga terkenal kerana minuman tuak (arak beras). Dahulu, sewaktu zaman pemburuan kepala, hasil pemburuan tersebut diletakkan di dalam sebuah ‘baruk’. Baruk adalah sebuah rumah bulat yang dahulu kala menjadi tempat bagi pemuda Bidayuh mengawal kampung mereka. Ia dibina tinggi, kira-kira 1. 5 meter dari tanah dan berfungsi memantau pergerakan dari pelbagai arah. Asalnya mereka mengamalkan ajaran animisme dan kini ramai yang telah memeluk agama Kristian.


Orang Ulu
Dikenali sebagai kaum hulu sungai Sarawak, mereka kira-kira 5.5 peratus populasi Sarawak dan terdapat lebih 100,000 suku etnik Orang Ulu di sini. Mereka adalah antara kaum pribumi Borneo yang paling artistic, dengan penggunaan pelaratan yang dihiasi seni tangan manik yang halus, dan juga kaum wanita yang berpangkat tinggi turut menghiasi tubuh mereka dengan seni lukisan tatu.


SABAH
Kaum etnik terbesar Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.
Kadazan Dusun
Kumpulan etnik terbesar Sabah, Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi negeri itu. Terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun mereka digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah dan secara tradisi terlibat dalam penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.


Bajau
Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda, yang turut dipamerkan setiap tahun di festival Tamu Besar di Kota Belud.


Murut
Kaum etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi 3 peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Seperti kebanyakan kaum pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.


Sumber:www.tourism.gov.my

Khamis, 11 Mac 2010

KEJOHANAN SUKAN MERENTAS DESA TAHUN 2O1O DI SMKB


Diadakan pada 25 Februari 2010 bermula pukul 8 pagi.Saya(IZYAN)berada dalam kategori B.Saya hanya dapat menyumbang 1mark
KEPUTUSAN:

TEMPAT PERTAMA: RUMAH HIJAU

TEMPAT KEDUA: RUMAH KUNING

TEMPAT KETIGA: RUMAH BIRU

TEMPAT KEEMPAT: RUMAH MERAH
ah kepada rumah pasukan saya iaitu Rumah Kuning.

Khamis, 4 Mac 2010

BENDERA MALAYSIA


Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

GERHANA





Gerhana matahari anulus

Fasa Gerhana Bulan


Gerhana merupakan kejadian astronomi yang berlaku apabila satu objek astronomi bergerak ke dalam bayang objek astronomi yang lain. Terdapat dua jenis gerhana:

Gerhana matahari
Gerhana matahari berlaku apabila bulan yang sedang dalam perjalanannya mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari, dan bayangnya terkena pada permukaan bumi, maka terjadilah gerhana. Gerhana matahari hanya dapat berlaku ketika bulan baru, kerana pada masa itu bulan berada di sebelah bumi menghadap matahari.
Gerhana bulan
Gerhana bulan pula hanya boleh berlaku ketika bulan purnama. Ketika itu bulan berada bersetentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari. Ini bermakna bulan boleh termasuk ke dalam bayang bumi dan menghilang.
Gerhana juga boleh dibahagikan kepada:

Gerhana Penuh


Gerhana penuh berlaku apabila sumber cahaya dilindungi sepenuhnya oleh sesuatu objek astronomi.

Gerhana Separa

Gerhana separa pula berlaku bila cuma sebahagian daripada objek tersebut dilindungi.

Gerhana Anulus

Gerhana anulus pula merupakan sejenis gerhana penuh di mana satu lingkaran halus dapat diperhatikan di sekeliling objek tersebut.

Gerhana mungkin tidak berlaku setiap tahun, dan mungkin pula beberapa kali setahun. Namun gerhana penuh adalah jarang dan hanya dapat disaksikan pada suatu tempat di bumi.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Gerhana

MEMBACA AL-QURAN AMALAN MEMBAWA KEJAYAAN



Amalan yang membawa kepada kejayaan


KITAB al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa. (al-Baqarah: 2)

Huraian

Kitab al-Quran tidak perlu diragukan kebenarannya. Datangnya (wahyu) daripada Allah, dibawa oleh Jibril, bukannya karangan daripada Rasul. Al-Quran menjadi petunjuk untuk orang yang ingin bertakwa.

Takwa bermaksud memelihara iaitu memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak melakukan perkara yang tidak diredai oleh Allah juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lumpur atau duri.

Seorang sahabat Rasulullah SAW (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang takwa. Beliau berkata : “Pernahkah engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab: “Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur.” Abu Hurairah menjawab: “Itulah dia takwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Takwa mendorong ke arah kejayaan. Kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sesiapa yang menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran nescaya mendorong ke arah takwa.


Kesimpulan

Al-Quran tidak perlu diragui lagi kebenarannya. Petunjuk bagi umat manusia dan mukjizat teragung yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang beriman dengan al-Quran nescaya keimanannya akan mendorong dirinya ke arah takwa dan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.

SEJARAH PENUBUHAN SMK BERANAGAN


Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan Tumpat mula dibina pada 21 Februari 1999 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6,623,210.72.

Sekolah ini dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-7 dan siap dibina pada 6 Januari 2001. Terletak di kawasan Kampung Padang Tembesu, Tumpat serta bersempadan dengan Kampung Bunut Sarang Burung dan Kampung Chenderung Batu, Tumpat.

Keluasan kawasan sekolah ini ialah 16.024 ekar atau 6.48 hektar meliputi kawasan berumput seluas 52470 meter persegi dan kawasan tidak berumput seluas 6444 meter persegi.

Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan mula beroperasi dengan melibatkan lima orang tenaga awal bagi menguruskan pembukaan sekolah yang diketuai oleh Pn Hjh Hatikah Bt Mohamad, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu,En Asri Bin Zawawi, (SMK Wakaf Bharu)

En Anuar Musa,(Kaunselor SMK Mahmud Mahyiddin) En Hashim Mamat (SMK Geting) dan Wan Ahmad Khairuddin Wan Abdullah(SMK Wakaf Bharu) telah diberi memo penempatan secara pinjaman bagi menguruskan pembukaan sekolah tersebut bermula 01 12.2001.

Sesi persekolahan mula dibuka pada 6 Januari 2002. Jumlah pelajar keseluruhan ialah seramai 340 orang pelajar. daripada jumlah ini seramai 186 adalah pelajar tingkatan satu manakala bakinya adalah tingkatan dua. Keseluruhannya merangkumi 11 buah kelas termasuk satu kelas aliran agama.

Bilangan pelajar dijangka akan meningkat dari tahun ke tahun dengan kemasukan pelajar-pelajar tingkatan satu dari lima buah sekolah saluran iaitu SK. Berangan 1, SK Berangan 2, SK Cenderung Batu, SK Kebakat dan SK Kubang Batang.

PENGENALAN 1MALAYSIA




Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Rabu, 3 Mac 2010

BANGUNAN BERSEJARAH DI MALAYSIA


Bangunan Bersejarah di Melaka
Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Ia terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka. Di hadapan memorial ini ialah Dataran Pahlawan. Bangunan ini dibina pada tahun 1911. Sebelum itu bangunan ini dikenali sebagai Kelab Melaka. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan Inggeris. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian pada 31 Ogos 1985, bangunan ini dijadikan memorial yang memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan.

Memorial ini ditubuhkan untuk mengambil dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifek yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.



Bangunan Stadthuys


Bangunan Stadhuys serba merah dan dilengkapi sebuah menara jam.'Bangunan Stadthuys' ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.

Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.

Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.

Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang. Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.




A Famosa

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

Selepas penawanan Portugis A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.


Penaklukan oleh Belanda
Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang menjelang masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.

Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".




Villa Sentosa

Villa Sentosa ialah sebuah rumah yang terletak di Kampung Morten, satu-satunya kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Dibina pada suku pertama abad ke-20 dengan gaya reka bentuk sezaman, rumah itu kemudian dijadikan sebuah muzium persendirian oleh pemiliknya, Tuan Hj. Hashim bin Dato Demang Hj. Abdul Ghani.

Villa Sentosa mempunyai sejarahnya yang tersendiri yang membawa pelawat kembali ke tahun "Akta Pembaharuan Tanah British 1920". Para pelawat boleh melihat koleksi pakaian, tenunan Melayu, perabot, senapang, dan pelbagai lagi tinggalan sejarah yang unik. Pelawat juga boleh menanyakan pemiliknya tentang maklumat tambahan.


Kota St. John

Ia telah dibina semula di Melaka oleh pihak Belanda semasa suku ketiga kurun ke-18. Kubu ini pernah menjadi gereja khas Portugis yang sempena St. John. Kubu ini mempunyai ciri menarik kerana meriamnya mengadap ke tanah besar kerana pada masa itu, serangan ke atas melaka datang terutamanya dari tanah besar berbanding dari arah laut di Selat Melaka.

ADAKAH SAYURAN TEMPATAN SELAMAT?????


Adakah Sayuran Tempatan Selamat?

Kebimbangan yang semakin meningkat di kalangan para pengguna di dalam dan luar negara mengenai tahap keselamatan sayur-sayuran yang dikeluarkan di Sabah. Pengimport sayur-sayuran semakin berhati-hati untuk membeli sayur-sayuran yang dikeluarkan di negeri ini. Adakah keprihatinan ini berasas?

Penyelidikan yang dibuat oleh ahli-ahli Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah telah mendapati bahawa kebanyakan sayur-sayuran yang dijual di pasaran untuk pengguna tempatan tidak diberi tag pengenalan. Tag pengenalan atau label adalah langkah yang digunakan untuk menjamin bahawa sayur-sayuran yang dikeluarkan memenuhi standard kesihatan yang minimum dan juga sebagai cara untuk memantau penggunaan bahan-bahan racun serangga oleh pengeluar-pengeluar sayur.

Pada masa ini, hanya sayur-sayuran keluaran tempatan yang dieksport sahaja yang diberi tag pengenalan sementara sayur-sayuran yang dipasarkan untuk para pengguna tempatan tidak sedemikian. Sayur-sayuran yang dijual di pasaraya, pasar dan gerai tidak diberi tag pengenalan. Ketiadaan tag pengenalan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menjamin bahawa syarat kesihatan minimum 1985 bagi sayur-sayuran dipenuhi.

Pada prinsipnya, semua penanam sayur dikehendaki untuk mendaftar dengan Jabatan Pertanian Sabah. Adalah penting untuk berbuat demikian supaya setiap penanam sayur diberi kod oleh Jabatan berkenaan untuk tujuan pemantauan. Ketika ini, majority penanam sayur yang berdaftar adalah mereka yang mengeksport sayur kerana ini adalah prasyarat untuk mengeksport. Sayur-sayuran yang tidak diberi tag pengenalan tidak dibenarkan untuk dieksport. Akan tetapi keperluan tag pengenalan ini belum lagi dikuatkuasakan ke atas penanam-penanam sayur tempatan.


Jabatan Kesihatan mengambil sample sayur-sayuran secara rambang dari kebun-kebun sayur, pasar dan pasaraya untuk menguji kandungan sisa racun serangga. Baru-baru ini, Jabatan tersebut telah mendakwa pemilik pasaraya di Kota Kinabalu kerana melanggar Akta Kawalan Makanan 1985 kerana menjual sayur-sayuran yang mengandungi sisa racun serangga yang tinggi (Daily Express, 3.9.00).

Jika sayur-sayuran yang dijual di pasaran tempatan diberi tag pengenalan, maka Jabatan Kesihatan juga boleh mengesan dan mendenda penanam-penanam sayur yang menggunakan racun serangga yang berlebihan.

Sayur-sayuran yang mengandungi tahap sisa racun serangga yang tinggi terbukti dalam statistik yang diperolehi. Pada tahun 1999, empat pengeksport sayur dari Sabah telah didapati mengeksport sayur-sayuran yang melebihi Paras Sisa Maksimum (MRL) (Sumber: FAMA). Cawangan Penyelidikan Jabatan Pertanian Sarawak juga telah mendapati bahawa 10.4% daripada sayur-sayuran yang diimport dari Sabah didapati melebihi MRL pada tahun 1998. Tahap MRL yang tinggi didapati dalam 75% daripada keseluruhan sampel daun celery China, 50% chai sim (sawi bunga), 40% cili (capsicum), 20% terung, 25% bayam (spinach) dan 15.6% kobis China.

Statistik tahun 1998 daripada Jabatan Kesihatan juga mendapati kandungan racun serangga adalah melebihi MRL bagi sayur minyak, sawi pahit, sawi bunga (Chai Sim), kacang wangi, bayam, sawi Taiwan, daun “Sadri”, cilli, bendi, daun ketumbar (Chinese celery) dan bayam putih. Statistik daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa 21% daripada sayur-sayuran tanah rendah yang diambil sampel antara Januari hingga Mei 2000 mempunyai paras sisa racun serangga EBDC yang melebihi MRL, mengikut masing-masing.


Berikutan penemuan ini, terdapat keperluan mendesak bagi meningkatkan kualiti dan tahap keselamatan sayu-sayuran yang dikeluarkan di negeri ini. Kawalan racun serangga mestilah diperketatkan oleh kerana pemakanan sayur-sayuran yang mengandungi sisa racun serangga membahayakan kesihatan masyarakat pengguna dalam jangka panjang. Tambahan pula imej sayur-sayuran keluaran negeri Sabah akan tercemar di pasaran tempatan dan antarabangsa jika tidak ada jaminan daripada pihak berkuasa bahawa sayur yang dihasilkan di sini mempunyai kualiti yang tinggi dan memenuhi standard kesihatan yang minimum.

Sebagai langka permulaan, adalah dicadangkan supaya hasil ujian sampel bagi pelbagai jenis sayur-sayuran yang dibuat oleh pihak berkuasa diterbitkan dalam suratkhabar tempatan atau laman web yang sesuai. Ini bukan sahaja berguna sebagai maklumat penting untuk menyedarkan para pengguna tetapi juga memberi tekanan kepada pengeluar sayur supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam penggunaan racun serangga dalam aktiviti mereka.

Pada masa yang sama, lebih banyak perkhidmatan sambungan (extension services) diperlukan untuk mendidik penanam sayur mengenai pengurusan racun serangga secara bersepadu dan kaedah-kaedah lain yang selamat dalam proses pengeluaran mereka. Adalah juga perlu untuk menjamin supaya racun serangga yang diharamkan (banned pesticides) untuk sayur-sayuran dihentikan segera. Hakikatnya, sudah ada kesedaran di kalangan pengguna untuk beralih kepada sayuran organic yang lebih selamat. Pihak berkuasa yang releven boleh mempromosikan perladangan organik dengan memberi lebih banyak bantuan kepada pekebun sayur.

Mengikut Jabatan Pertanian, kos untuk menguji sesuatu sample sayur-sayuran adalah sangat tinggi. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk meningkatkan peruntukan bagi ujian sampel sayuran untuk memastikan agar saiz sample yang dikaji mencukupi. Jumlah kakitangan di Jabatan berkenaan yang menjalankan ujian sample sayuran juga ditambah supaya ujian yang lebih kerap dapat dilakukan di peringkat kebun, pasaran borong dan runcit serta pintu eksport. Kita hendaklah menjamin kualiti dan keselamatan sayur-sayuran untuk kesihatan pengguna sebelum kita pergi lebih jauh mempromosikan pasaran untuk eksport.




Sumber : Buletin Pilihan Pengguna Consumer's Choice Bil 1/2000

SATELIT MALAYSIA


Malaysia juga mempunyai satelit tersendiri ke angkasa iaitu TiungSAT, MeaSAT dan RazakSAT


1. TiungSAT

Dilancarkan pada 26 September 2000 dengan jolokan satelit mikro pertama negara berlepas ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.

Pembangunan satelit mikro pertama ini diperkemas agensi tempatan, Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd.

Sejurus TiungSAT-1 berada pada orbit yang ditetapkan, sistem kawalan di Stesen Kawalan Bumi ATSB terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia akan terus menghantar dan menerima isyarat komunikasi untuk berhubung dengan TiungSAT-1.

TiungSAT-1 itu mempunyai berat 50kg dan dimensi 690 x 366 x 366 mm yang beroperasi pada Orbit Bumi Rendah pada ketinggian 650km dari aras bumi dengan kecondongan sebanyak 65 darjah.

Tiga misi utama menjadi tanggungjawab TiungSAT-1 iaitu pencerapan bumi, ujikaji saintifik ‘Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment’ (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi.

Ia dilengkapi sistem kamera ‘Multi Spectral Earth Imaging’ yang mempunyai resolusi 72m dan sistem kamera ‘Meteorological Earth Imaging’ dengan resolusi 1.2km bagi menjalankan aktiviti pencerapan bumi.


2. MeaSAT

Malaysia East Asia Satellite atau singkatannya MeaSAT adalah satelit swasta pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh Measat Satellite Systems Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Binariang Sdn. Bhd.

Sistem MeaSAT ini menyediakan khidmat langsung-ke-rumah (DTH-Direct-to-home) yang pertama di Malaysia dan perkhidmatan komunikasi asas yang menjangkau dari India ke Hawaii serta dari Jepun ke Australia Timur.

Antara perkhidmatan DTH adalah pemancaran program televisyen dan pendidikan ke rumah pengguna menggunakan antena kecil.

Perkhidmatan komunikasi asas pula termasuk perkhidmatan telefoni, televisyen, penyebaran data dan rangkaian perniagaan.

Kedua-dua satelit MeaSAT di bina di El Segundo, California, oleh Hughes Space and Communications Company (HSC) yang mana sekarang menjadi sebuah Pusat Pembangunan Satelit.

Satelit pertama dilancarkan menggunakan roket Ariane pada 12 Januari 1996, dari Kourou, French Guiana sementara pelancaran satelit kedua pula dilakukan pada 13 November 1996.

HSC bertanggungjawab membekalkan kelengkapan untuk stesen pengawasan satelit di Pulau Langkawi, Malaysia serta melatih jurutera Malaysia untuk mengawal dan mengoperasikan satelit.


3. RazakSAT

Pada masa sekarang, agensi di Malaysia memerlukan banyak imej satelit yang bergantung pada data, imej dan maklumat diperoleh dari satelit luar negara.

RazakSAT adalah satelit kecil kedua Malaysia yang berupaya membekalkan imej data lebih spesifik dan kerap kepada pengguna di Malaysia serta negara di lingkungan khatulistiwa.

Satelit ini membawa muatan elektro-optik dan Kamera Bukaan Saiz Sederhana (Medium-sized Aperture) atau lebih dikenali sebagai MAC.

Ia sejenis kamera ‘pushbroom’ yang terdiri daripada lima pengesan berjenis linear (satu pengesan berjenis pankromatik dan empat pengesan berjenis multi-spektra).

Satelit itu dikendalikan melalui segmen buminya yang berada di Malaysia terdiri daripada Stesen Kawalan Misi (MCS) dan Stesen Penerimaan Dan Pemprosesan Imej (IRPS).

MCS akan digunakan untuk mengawal dan melaksanakan misi RazakSAT, termasuk penghasilan arahan dan penerimaan maklumat satelit manakala IRPS pula digunakan untuk menerima dan menganalisa imej RazakSAT sebelum diedarkan kepada pengguna.

RazakSAT dihasilkan menerusi kerjasama antara Malaysia Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) dan Satrec Initiative Co. Ltd, Republic of Korea.

Sumber: http://www.angkasa.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=309&Itemid=276

LINDUNGI DIRI DARIPADA JANGKITAN PENYAKIT BERJANGKIT


Langkah-langkah untuk memperkuatkan sistem ketahanan badan.

Sistem ketahanan adalah komponen yang sangat kritikal pada tubuh manusia. Ia melindungi diri daripada serangan penceroboh seperti bakteria, kulat, virus dan menahan jangkitan penyakit berbahaya seperti kanser. ia juga berkesan dan mempunyai "daya ingatan" jangkitan-jangkitan sebelumnya dan bersedia menghadapinya pada masa depan.

Untuk memastikan ia berfungsi pada kadar optimum anda boleh merujuk kepada beberapa langkah berikut.

1. Makan Dengan Betul

Jangan Makan Berlebihan
Makan berlebihan boleh menyebabkan kegemukan dan membahayakan sistem ketahanan badan. Obesiti menghalang sistem ketahanan badan daripada berfungsi dengan baik. Justeru ini akan mengurangakan daya ketahanan terhadap jangkitan.

Jenis Makanan Yang Dipilih
Jenis makanan yang dipilih juga tidak kurang pentingnya. Terdapat beberapa jenis nutrien dan makanan yang boleh mempertingkatkan sistem ketahanan badan seperti:-

Makanan yang kaya dengan Vitamin C seperti buah-buahan sitrus dan brokoli
Makanan yang kaya denagn Vitamin E seperti kekacang dan bijirin
Bawang Putih
Makanan yang kaya dengan zink seperti kekacang, ayam belanda, ketam, tiram dan daging lembu
Makanan yang mengandungi bioflavanoid seperti yang terdapat dalam buah-buahan dan syuran
Makanan yang kaya denagn karoten seperti lobak dan keladi.
2. Bersenam Selalu

Senaman yang kerap dan konsisten boleh mengurangkan pengambilan cuti sakit anda. Wanita yang meluangkan masa 35 hingga 45 minit untuk berjalan kaki 5 kali seminggu selama 12 hingga 15 minggu mengalami pengurangan dalam bilangan cuti sakit berbanding dengan kumpulan kawalan yang kurang bersenam. Walaubagaimanapun, senaman tidak semestinya yang berat untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Malah, senaman yang sederhana mungkin mempunyai keputusan yang lebih baik.

3. Dapatkan Tidur Yang Secukupnya

Tidur yang cukup dapat merangsang dan menguatkan sistem ketahanan manakala kekurangan tidur mempunyai kesan yang sebaliknya. Kesan buruk terhadap fungsi sistem ketahanan badan yang ketara dapat dilihat selepas beberapa hari kita kekurangan tidur. Orang dewasa secara puratanya memerlukan 7-8 jam masa tidur. Untuk memastikan anda mendapat tidur yang berkualiti, elakkan dari minuman berkafein (seperti kopi dan teh), tembakau dan arak.

4. Menguruskan Tekanan

Hormon-hormon yang dilepaskan semasa tekanan kronik boleh meningkatkan risiko obesiti, penyakit jantung, kanser dan pelbagai jenis penyakit lain. Hormon tekanan ini boleh berfungsi dalam dua cara, sama ada menghapuskan sel darah putih (yang melawan penyakit) atau menghidupkan sistem keimunan hiperaktif yang boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit auto imun ( auti-immune). Oleh itu, luangkanlah masa untuk melepaskan stres beberapa kali seminggu seperti bersenam, menonton wayang, mengunjungi spa ataupun melakukan aktiviti yang anda gemari

Sumber: Buletin Pengguna

PENDIDIKAN TERAP 1MALAYSIA

KURIKULUM baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.

Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik.

KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka.

Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR.

Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.

Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009.

Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih.

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.

Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.

Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara.

Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M.

KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.


sumber maklumat : Portal Pendidikan Utusan

HARI RAYA AIDILFITRI



Hari Raya Puasa merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadan di mana umat Islam berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Puasa bermula apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu Maghrib di beberapa tempat strategik di Malaysia.


Perayaan Hari Raya Puasa bermula stelah perisytiharan dibuat oleh Pemegang Mohor Besar Raja-Raja, dimana takbir akan bergema di masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah. Sembahyang Sunat Hari Raya Puasa sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban.



Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka.

BUDI BAHASA BUDAYA KITA





Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan pada 11 Jan 2005 merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan pada 11 Jan 2005 merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam misinya melahirkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Perbuatan Tidak Berbudi Bahasa

· Situasi di mana pemandu tidak bertimbang rasa di jalan raya,

· Orang ramai membuang sampah sesuka hati,

· Memotong barisan tabiat memandu yang kurang sopan dan merbahaya

· Tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan,

· Bercakap kasar dengan pelanggan / kekasaran terhadap para pelanggan

· Merokok di kawasan larangan merokok ialah

· kurangnya perasaan sivik terhadap harta benda awam

Senyuman Ikhlas

Malah budi bahasa yang paling asas iaitu melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih masih sukar dilihat dalam masyarakat kini.

Beberapa pakar berkata kempen itu, yang kini dinamakan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni, baik tujuannya dan memang perlu diteruskan biarpun keberkesanannya belum meluas.







Rakyat Kelas Pertama

Dapat kita rasakan bahawa ungkapan “first class infrastructure, third class mentality” itu tepat menggambarkan kerisauan ramai rakyat Malaysia tentang keadaan negara pada masa ini. Ekonomi negara terus berkembang pesat; penggunaan teknologi semakin berleluasa; jalan raya diperbanyakkan dan diperluaskan; dan banyak kawasan dibangunkan untuk perumahan dan perindustrian moden.

Namun, cara pemikiran kita dan peradaban kita tidak mengalami kemajuan yang sama, malah seolah-olah semakin mundur. Kita menghadapi satu senario di mana sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang dulu menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia semakin terhakis. identiti dan jati diri masyarakat Malaysia semakin luntur.

Budi Pekerti Asas Utama

Kepincangan ini telah melahirkan beberapa sindrom negatif yang kini dipandang seakan-akan satu kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia. Namun, pada hakikatnya, kita telah meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari Rukun Negara sehinggalah kepada Wawasan 2020. Jelaslah bahawa aspirasi kita dalam bidang pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masa kini.


Dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin semakin lupa untuk memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri ataupun untuk anak-anak kita. Sebelum budaya masyarakat kita merosot lagi, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai-nilai dan budi bahasa warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat diri sendiri, peringkat keluarga dan pada peringkat masyarakat.

Nilai-nilai Murni

Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini merupakan agenda penting kerajaanuntuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni kedalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.






Aktiviti Yang Dijalankan

1.Mengenang Jasa Ibu Dan Bapa (Kekeluargaan)

Mengadakan aktiviti seperti makan sekeluarga, menghormati ibu dan bapa, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa, pertandingan sajak, pertandingan bergambar dan minggu keluarga.

2. Pelajar Berbudi Bahasa (Pembelajaran)

Mengadakan pertandingan pidato, bahasa, pantun, drama, sketsa, choral speaking,boria, dikir barat, kuiz, nasyid, Kembara Budi Bahasa, melukis, animasi, Anugerah Asrama Terbilang dan Kem Jatidiri.

3. Berbudi Bahasa (Kemasyarakatan)

Mengadakan aktiviti seperti Minggu Budi Bahasa, Kenali Jiran Anda dan Kempen Pemanduan Bersopan.

4. Senyum dan Terima Kasih (Perkhidmatan)

Mengadakan kempen 'Kenali Saya' bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.

5.Cintai Alam Sekitar, Flora dan Founa

Mengadakan aktiviti seperti gotong-royong 'Sungaiku Bersih Alamku Permai', ´'Tandas Bersih',' Kampung Indah Masyarakat Ceria','Anugerah Bandar Berbudi Bahasa', 'Anugerah Gerai/Pasaraya Terbaik' dan 'Anugerah Untuk Perusahaan Kecil'

Kempen ini perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat masa kini nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, yang tidak berbahasa, yang tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.


Kempen Budi Bahasa Budaya Kita

Kini kita bergerak untuk mengutip kembali warisan yang sangat berharga itu. Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah satu gelombang yang diharap akan mengembalikan rakyat kepada asas hidup berbudaya negara ini.

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020, destinasi impian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Cuba lihat kembali cabaran-cabaran Wawasan 2020 menjadi negara maju dalam acuan budaya kita.

Untuk tidak kelihatan terlalu besar dan menakutkan, lihat saja budi bahasa dalam konteks kehidupan seharian semua kelas sosial dalam masyarakat. Amalan-amalan budi bahasa yang mudah dilakukan misalnya menyambut tetamu, melayan tetamu dan tatacara tidak rasmi ketika bertemu.

Budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang baik akan terus kekal menjadi kenang-kenangan.

Pantun Budi

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi

Burung Serindit terbang melayang
Mari hinggap di ranting mati
Bukan ringgit dipandang orang
Budi bahasa rangkaian hati

Disunting dari : Akhbar Utusan Malaysia

Dewan Bahasa dan Pustaka

PENJELASAN MENGENAI LAPAN NILAI 1MALAYSIA


(Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)

1. PENGENALAN


Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

2. DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.

Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.


3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.


5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.


6. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.


‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.


7.4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.


7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.



7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.


7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.


8. KESIMPULAN


Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.




Sumber:

1. www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan
3. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

KAUM-KAUM 1MALAYSIA


Selasa, 2010 Mac 02
Ungkap Pemikiran Pelbagai Kaum,Latar



“KITA perlu meneliti semula kenyataan Profesor Tan Sri Ismail Hussein supaya dibuka bidang sastera kebangsaan supaya ia mengungkapkan pemikiran dan kosmologi pelbagai kaum dan latar budaya yang kelak mungkin asing bagi kerangka pemikiran kemelayuan yang selama ini sempit.”

Berkata demikian dalam makalahnya Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia: Satu Penilaian Semula, Saiee Driss selanjutnya menjelaskan, “Kita harus menilai dan menghargai aspek kemanusiaan di dalam karya bukan aspek eksetika yang sebenarnya disebabkan oleh kejahilan dan fikiran romantik kemelayuan intelek Melayu yang leka dengan konsep ketuanan yang semakin mencabar kesahihannya.”

Kata Saiee, kalau mahu sastera kebangsaan menjadi pemersatu pelbagai kaum, kita harus mengaut ciri-ciri kepelbagaian kaum warganegara Malaysia itu sendiri dan memberi layanan saksama terhadap semua persoalan dan masalah semua kaum itu.

Dengan kata lain, tambahnya, selain harus memperbanyakkan jumlah karya, harus diusahakan pengkayaan tematik sastera kebangsaan itu dengan weltachauung dan kosmologinya.

“Kalau kita dapat menerima karya barat dengan nilai dan minda kebaratannya, maka kita harus dapat menerima bidang kosmologi yang selama ini dilihat eksotik sebagai milik hakiki bangsa Malaysia dan sebahagian daripada budaya besar Malaysia yang boleh sahaja mempengaruhi keperibadian dan warna budaya Malaysia seluruhnya.

Menurutnya, lebih banyak toleransi diperlukan dalam membenarkan pengungkapan pemikiran dalam bahasa yang mungkin sekarang dilihat payah untuk diterima.

Misalnya, penggunaan istilah Tuhan dan Allah bagi konsep Tuhan Esa dan khutbah dan sembahyang kaum dan agama lain serta kitab mereka yang ada nilai sastera diterjemah dan dipopularkan dalam bahasa kebangsaan apakah dibenarkan oleh sastera kebangsaan wujud di dalam korpusnya yang mengupas tema selain Melayu?

“Ekoran itu nanti harus juga kita bersedia dengan kemasukan konsep, ikon, nilai dan imejan dari budaya dan suku lain itu berdiri setara dengan imej, ikon, dan konsep yang mungkin selama ini sakral bagi orang Melayu.

“Atau sebaliknya apa-apa yang sakral bagi masyarakat Melayu kerana sedemikian anggapan sekian lama tiba-tiba merosot kedudukannya apabila ia menjadi milik dan diguna setara oleh semua kaum penulis.

“Kalau dulunya amalan dalam main pateri, makyong dan sebagainya dilihat sebagai sakral dan ada nilai penyembahan, maka kini ada dalam dalang bukan Islam yang lulusan ASWARA dan akademi setaraf dengannya.

“Apakah kelak tidak mungkin ada orang bukan Melayu boleh bermain hadrah malah belajar membaca dan menyampaikan marhaban dan berzanji dan ada syair berzanji itu dibuka pintunya sehingga ada versi yang turut dicipta oleh bukan Islam atau bukan Melayu?”

Jelas Saiee, satu hal yang juga dipertimbangkan ialah wajarnya masyarakat penulis kebangsaan memisahkan diri daripada persempadanan maya politik dengan sedia menerima penulis dan karya dari mana-mana penulis tanpa mengira ideologi politik semasanya dan anutan spiritualnya.

Dengan kata lain katanya, pergerakan penulis haruslah mendominasikan politik dan orang politik, bukan menjadi pengikut. Hanya dengan itu barulah dapat disaringkan pemikiran dan nilai genius dan kebijakan sebenar dan universal dari kalangan sasterawan dan penulis yang tidak dipengaruhi oleh aura politik asabiah dan taksub terhadap ideologi sempit yang menyemputkan rasionaliti.

“Para penulis dan budayawan harus bertindak bijaksana dan seimbang serta holistic tanpa dapat dipengaruh oleh orang politik yang sehingga kini melihat hanya mereka sahaja yang bijak dan harus dominant dalam membuat keputusan bagi kepentingan masyarakat.

“Golongan penulis harus bijak memanfaatkan kecelaruan politik sekarang untuk bangkit menjadi diri mereka sebenar, iaitu sebagai pemikir dan pemimpin masyarakat,” katanya.


Sumber:Utusan Sarawak

Selasa, 2 Mac 2010

TERAS-TERAS PERPADUAN

. PENERIMAAN :
1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

2. PRINSIP-PRINSIP KENEGARAAN YANG BERASASKAN :
a. Perlembagaan Persekutuan
b. Rukun Negara

3. KEADILAN SOSIAL :
Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan perutukan-perutukan perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

Isnin, 1 Mac 2010

KONSEP 1MALAYSIA


Realiti, sejarah teras 1 Malaysia

Oleh ARMIZAN MOHD ALI

Banyak pendapat telah dimajukan oleh pelbagai pihak tentang konsep 1 Malaysia yang telah perkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 3 April yang lalu.

Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Hari ini misi dan visi mulia ini diteruskan pula oleh Najib.

Walaupun matlamatnya adalah murni namun ada pihak berkepentingan yang cuba memutarbelitkan hasrat beliau dengan menyamakan konsep ini dengan konsep Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk orang Malaysia konsep yang menjadi teras perjuangan DAP. Penyamaan ini telah menimbulkan kegusaran kepada orang Melayu/bumiputera kerana ia satu konsep yang amat sensitif kepada mereka. Sensitiviti terhadap konsep ini terbentuk kerana walaupun konsep Malaysia untuk orang Malaysia ini berbunyi muluk dan bersifat halwa telinga kepada pendengarnya namun ia tidak berpijak di bumi nyata kerana gagal mengambil kira faktor sejarah dan realiti tempatan. Teras asas konsep ini ialah penolakan kepada sebarang bentuk tindakan afirmatif dan pelaksanaan prinsip meritokrasi sepenuhnya di dalam dasar-dasar negara terutamanya dasar sosioekonomi. Di dalam konteks Malaysia ketiadaan tindakan afirmatif dan pelaksanaan meritokrasi yang tidak mengambil kira realiti ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum akan hanya menghasilkan ketidakadilan serta ketidaksaksamaan yang akhirnya akan mengakibatkan diskriminasi minoriti ke atas majoriti.

Konsep 1 Malaysia berbeza dari Malaysian Malaysia kerana konsep ini bertunjangkan kepada realiti tempatan dan sejarah negara. Memahami dan menghayati sejarah amat penting kerana seperti mana kata seorang Ahli Falsafah Amerika berketurunan Sepanyol George Santayana, "Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah mengulanginya". Jika kita mengikuti ucapan Najib semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini kita akan mendapati beliau sebenarnya telah pun membezakan antara kedua-dua konsep ini apabila memperincikan tiga teras utama konsep 1 Malaysia iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.

Teras pertama 1 Malaysia yang beliau nyatakan ialah mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Transformasi dari toleransi kepada penerimaan ini amat penting kerana untuk Malaysia mencapai kemakmuran dan keharmonian ia memerlukan iltizam rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ini termasuklah bagi merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi serta bebas kemiskinan.

Untuk negara terus berada di hadapan keluk kejayaan semua rakyat Malaysia perlu terus membina di atas persamaan yang ada dan pada masa yang sama berlapang dada menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain tanpa bersikap menghakimi atau menilai. Kita perlu meraikan perbezaan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya terperangkap dengan polemik yang berpunca dari perkara titik bengik sehingga melupakan matlamat besar bersama.

Ahad, 28 Februari 2010

WAWASAN 2020 MALAYSIA

Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

BUNGA KEBANGSAAN


Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan

Sabtu, 27 Februari 2010

MAKSUD DAN DEFINISI GAGASAN "1 MALAYSIA"

Parlimen 15 jun – Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia menjelaskan maksud dan definisi gagasan Satu Malaysia di sesi Parlimen yang bermula pada hari ini. Penjelasan ini dibuat sejurus soalan yang dikemukakan ahli parlimen Tenggara YB Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Menurut Yang Amat Berhormat, konsep gagasan Satu Malaysia bukan merupakan sesuatu konsep yang baru, malahan ia adalah konsep yang ditekankan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Satu Malaysia yang membawa maksud perpaduan nasional hanyalah berubah dari segi pendekatan dan gerak kerja mengikut kesesuaian zaman. Ia merupakan pelengkap bagi pendekatan Barisan Nasional sejak dahulu lagi bagi mencapai proses pembangunan negara.

Konsep Satu Malaysia mempunyai prinsip-prinsip yang harus diterap oleh semua masyarakat agar proses pembangunan negara dan juga Wawasan 2020 dicapai. Antara syarat-syarat yang ditekankan untuk menegakkan perpaduan termasuklah menghormati identiti-identiti etnik, peruntukan-peruntukan teras perlembagaan dipatuhi, sikap penerimaan di antara kaum dan sebagainya.

Datuk Halimah seterusnya mengemukakan soalan tambahan iaitu langkah-langkah kerajaan bagi mempercepatkan proses gagasan Satu Malaysia. Ini adalah supaya konsep Satu Malaysia difahami dan mengeratkan perpaduan di antara rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Pada masa yang sama ia juga menitikberatkan pengecualian sesiapapun yang merasakan terpinggir daripada wacana nasional ini dan sejajar dengan segala peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam perlembagaan.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa menjawab soalan tersebut menjelaskan bahawa semua pihak termasuk ahli parlimen, NGO, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya harus berganding bahu untuk menerapkan konsep Satu Malaysia.

Jumaat, 26 Februari 2010

Rabu, 10 Februari 2010

Selasa, 9 Februari 2010

Isnin, 8 Februari 2010

Jumaat, 5 Februari 2010

KLINIK 1MALAYSIA


KLINIK 1Malaysia dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan serentak dengan itu juga sebanyak 44 buah lagi klinik serupa memulakan operasinya.

Kehadiran klinik itu yang bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’, tentunya menggembirakan rakyat jelata kerana kedudukannya yang dekat dengan kediaman mereka, selain dapat menjimatkan kos mendapatkan rawatan kesihatan.
Pembukaan klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi, yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Jan, disambut baik penduduk tempatan.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ibrahim, 63, berkata klinik itu akan memudahkan mereka untuk mendapatkan rawatan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan perumahan.

"Jika ada kecemasan misalnya anak sakit, mereka boleh datang ke sini untuk mendapatkan rawatan awal. Kalau tidak, mereka perlu pergi ke klinik swasta. Kalau buka di sini, lebih ramai orang akan datang ke sini," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Klinik komuniti itu yang terletak di kawasan perumahan kakitangan DBKL Pantai Permai itu masih belum dibuka namun kaunter, kawasan menunggu dan tempat rawatan sudah disediakan.

Najib akan melancarkan klinik komuniti 1Malaysia Kampung Kerinchi itu serentak dengan 49 lagi klinik lain di seluruh negara seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2010 dengan peruntukan awal RM10 juta bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan awam.

Umi Alang Ibrahim, 50, seorang pengawal keselamatan di kuarters itu berpendapat meskipun beliau tidak menetap di kawasan itu, namun kemudahan itu tetap memberikan kesenangan baginya jika beliau tidak sihat semasa bekerja.

Mohd Norizwandi Baharin, 31, pula berkata beliau dan keluarganya akan mendapatkan rawatan di klinik 1Malaysia yang akan dibuka berbanding ke klinik swasta sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata keselesaan penduduk juga perlu diambil perhatian memandangkan kawasan itu sentiasa berhadapan dengan kesesakan tempat letak kereta.

"DBKL perlu melakukan sesuatu bukan sahaja untuk kesenangan pesakit, malah kepada penduduk kawasan ini kerana kesesakan tempat letak kereta dijangka lebih buruk selepas klinik itu dibuka," katanya.

T. Ganeson, 59, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai sejak tiga tahun lepas juga berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan klinik berkenaan kerana lokasinya yang berhampiran dengan kediaman.

Kesesakan tempat letak kereta itu bukan masalah untuk pegawal keselamatan yang hanya memberi namanya sebagai Jesus, 44.

Beliau berkata berkata penduduk perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana membuka klinik itu di kawasan perumahan mereka, bukannya merungut kerana risau tempat letak kereta tidak mencukupi.

"Kerajaan mahu tolong orang ramai. Mereka buka klinik. Bukan mereka buka restoran di sini," katanya.

Abdullah Ali, 64, pula berkata selain penduduk PPR Pantai Permai, penduduk PPR Kerinchi dan perumahan lain yang berhampiran juga akan mendapat manfaat daripada pembukaan klinik itu.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang meninjau persediaan klinik Kampung Kerinchi itu pada pertengahan Disember, semua klinik 1Malaysia akan dibuka setiap hari dan dikendalikan oleh seorang jururawat dan pembantu perubatan.

Mereka dibenarkan untuk memberi ubat untuk sakit ringan sahaja seperti demam, batuk ataupun luka ringan dan merujuk kes kronik ke klinik yang lebih besar atau hospital.


Sumber Berita: Utusan Malaysia

I made this widget at MyFlashFetish.com.

anda pengunjung ke