Jumaat, 5 Februari 2010

KLINIK 1MALAYSIA


KLINIK 1Malaysia dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan serentak dengan itu juga sebanyak 44 buah lagi klinik serupa memulakan operasinya.

Kehadiran klinik itu yang bertepatan dengan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’, tentunya menggembirakan rakyat jelata kerana kedudukannya yang dekat dengan kediaman mereka, selain dapat menjimatkan kos mendapatkan rawatan kesihatan.
Pembukaan klinik 1Malaysia di Kampung Kerinchi, yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Jan, disambut baik penduduk tempatan.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd Nor Ibrahim, 63, berkata klinik itu akan memudahkan mereka untuk mendapatkan rawatan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan perumahan.

"Jika ada kecemasan misalnya anak sakit, mereka boleh datang ke sini untuk mendapatkan rawatan awal. Kalau tidak, mereka perlu pergi ke klinik swasta. Kalau buka di sini, lebih ramai orang akan datang ke sini," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Klinik komuniti itu yang terletak di kawasan perumahan kakitangan DBKL Pantai Permai itu masih belum dibuka namun kaunter, kawasan menunggu dan tempat rawatan sudah disediakan.

Najib akan melancarkan klinik komuniti 1Malaysia Kampung Kerinchi itu serentak dengan 49 lagi klinik lain di seluruh negara seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2010 dengan peruntukan awal RM10 juta bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan awam.

Umi Alang Ibrahim, 50, seorang pengawal keselamatan di kuarters itu berpendapat meskipun beliau tidak menetap di kawasan itu, namun kemudahan itu tetap memberikan kesenangan baginya jika beliau tidak sihat semasa bekerja.

Mohd Norizwandi Baharin, 31, pula berkata beliau dan keluarganya akan mendapatkan rawatan di klinik 1Malaysia yang akan dibuka berbanding ke klinik swasta sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata keselesaan penduduk juga perlu diambil perhatian memandangkan kawasan itu sentiasa berhadapan dengan kesesakan tempat letak kereta.

"DBKL perlu melakukan sesuatu bukan sahaja untuk kesenangan pesakit, malah kepada penduduk kawasan ini kerana kesesakan tempat letak kereta dijangka lebih buruk selepas klinik itu dibuka," katanya.

T. Ganeson, 59, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai sejak tiga tahun lepas juga berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan klinik berkenaan kerana lokasinya yang berhampiran dengan kediaman.

Kesesakan tempat letak kereta itu bukan masalah untuk pegawal keselamatan yang hanya memberi namanya sebagai Jesus, 44.

Beliau berkata berkata penduduk perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana membuka klinik itu di kawasan perumahan mereka, bukannya merungut kerana risau tempat letak kereta tidak mencukupi.

"Kerajaan mahu tolong orang ramai. Mereka buka klinik. Bukan mereka buka restoran di sini," katanya.

Abdullah Ali, 64, pula berkata selain penduduk PPR Pantai Permai, penduduk PPR Kerinchi dan perumahan lain yang berhampiran juga akan mendapat manfaat daripada pembukaan klinik itu.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang meninjau persediaan klinik Kampung Kerinchi itu pada pertengahan Disember, semua klinik 1Malaysia akan dibuka setiap hari dan dikendalikan oleh seorang jururawat dan pembantu perubatan.

Mereka dibenarkan untuk memberi ubat untuk sakit ringan sahaja seperti demam, batuk ataupun luka ringan dan merujuk kes kronik ke klinik yang lebih besar atau hospital.


Sumber Berita: Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


I made this widget at MyFlashFetish.com.

anda pengunjung ke